By Expedia Team, on April 30, 2019

Percutian ke Krabi

Kunjungan saya ke Krabi, Thailand yang terkenal akan keindahan alam semulajadinya yang indah lagi menyamankan telah memberikan satu pengalaman unik yang diisi dengan pelbagai jenis aktiviti dan lawatan ke tempat-tempat menarik sekitar pekan Krabi yang ingin saya kongsikan bersama anda.

Cara Untuk Kesini

Saya memulakan perjalanan saya untuk ke Krabi dari Terminal Bas 2 Hat Yai menaiki van dengan bayaran berharga 230 Baht yang mengambil masa sekitar 5 jam. Sepanjang perjalanan saya dapat melihat beberapa perkampungan dan juga dihidangkan dengan pemandangan panorama menghijau.

Setelah sampai semua van akan berhenti di terminal bas Krabi yang terletak kira-kira 15 minit dari pekan Krabi. Dan seterusnya saya mengambil songthaew berwarna putih dengan bayaran serendah 20 Baht sahaja untuk ke pekan.

Tempat Tinggal di Krabi

Sepanjang berada di Krabi saya memilih untuk menginap di Hogwarts Hostel disebabkan lokasinya yang terletak di tengah pekan memudahkan saya untuk mendapatkan pengangkutan awam dan juga mencari kedai-kedai makanan. Pihak hostel ini juga menawarkan

tiket untuk ke tempat-tempat pelancongan lain di sekitar Krabi seperti Koh Phi Phi island dan Koh Lanta. Yang pastinya harga tiket memang lebih murah jika beli di hostel berbanding pejabat travel agensi.

Percutian Krabi – Tempat Menarik di Krabi

1. Tiger Cave Temple

Untuk melakukan pendakian ini adalah lebih baik untuk menempah pengangkutan dengan lebih awal kerana dapat memulakan pendakian pada awal pagi untuk mengejar matahari terbit. Untuk ke puncak saya perlu mendaki sebanyak 1,237 anak tangga yang memakan masa lebih kurang satu jam kerana keadaan tangganya juga agak curam. Jadi Pastikan anda mengira masa dengan baik jika ingin tiba di puncak sewaktu matahari terbit iaitu sekitar jam 6:30 pagi.

Sebaik saja tiba di puncak saya amat terpukau oleh keindahan panorama yang dihidangkan dengan pemandangan bukit-bukit batu kapur menghijau yang dilitupi kabus tebal. Malah terasa seperti terapung di awangan pun ada juga. Bagi saya ianya satu pendakian yang amat berbaloi dengan penat dan lelah. Selain itu, kuil ini juga merupakan lokasi yang penting bagi penganut agama Buddha dimana dikatakan bahawa dahulu terdapat seekor harimau yang tinggal di puncak bukit sebelum beredar pergi setelah kedatangan beberapa sami untuk bertapa disini dan kemudiannya penduduk tempatan mula menamakan kuil ini sebagai kuil harimau.

2. Railay Beach

Untuk ke Railay Beach saya perlu menaiki bot dengan bayaran berharga 300 Baht yang boleh dibeli di pekan Krabi. Perjalanan saya mengambil lebih kurang 30 minit sebelum disambut dengan pemandangan bukit batu kapur disekeliling pulau dan barisan pasir seputih mutiara sepanjang pantai yang menjadikan Railay Beach sebagai destinasi tarikan orang ramai.

Selama beberapa jam berada di pulau ini saya menghabiskan masa dengan berjalan-jalan di sekitar mengambil gambar yang sangat sesuai untuk Instagram disebabkan keindahan tropikalnya. Saya juga mendapati bahawa pulau ini juga terkenal sebagai destinasi sukan lasak rock climbing berkelas dunia. Jadi boleh saja meluangkan masa dengan melihat para-pendaki ini mendaki di dinding bukit. Manakala bagi anda yang tidak ingin tinggal disini boleh sahaja melakukan daily trip dengan bot terakhir berlepas dari Railay Beach pada jam 5 petang.

3. Pasar Malam Krabi

Keadaan di pasar malam ini memang sangat meriah dimana terdapat pelbagai jenis gerai-gerai menjual segala macam jenis benda dari makanan sehinggalah kepada pakaian dan juga cenderamata pada harga yang agak murah. Bagi anda yang penggemar makanan laut harus datang kesini kerana terdapat lambakan makanan laut segar dengan ketam yang masih hidup dijual pada harga yang berpatutan.

Ditambah pula sambil tengah makan saya turut ditemani oleh nyanyian daripada penduduk tempatan yang menceriakan lagisuasana malam orang ramai. Makanan halal juga terdapat banyak dijual disini jadi anda tidak perlu risau.

4. Kampung Nelayan Muslim

Lawatan saya ke perkampungan nelayan ini adalah dengan tujuan untuk melihat cara hidup bagi masyarakat muslim di Krabi yang hampir kesemua mereka disini merupakan penternak ikan dalam sangar dan juga para nelayan. Ketika hampir tiba, pemandu bot saya sempat menunjukkan lokasi dimana dia tinggal yang kebetulan di kampung nelayan ini juga.

Sebaik saja tiba, saya disambut dengan mesra oleh penduduk setempat dan pemandu bot saya juga begitu teruja sekali ingin menunjukkan ikan-ikan yang dibela di dalam sangkar yang ditangkap di sekitar kawasan gua. Namin saya agak tidak bernasib baik kerana keadaan air yang keruh disebabkan oleh cuaca tidak baik.

5. Gua Khao Khanap Nam

Sebaik sahaja tiba di Krabi saya dapat melihat dua bukit batu kapur yang merupakan mercu tanda bagi Krabi dan untuk melihatnya dengan lebih dekat saya membuat keputusan untuk menaiki bot untuk mengetahui lebih lanjut tentang gua bersejarah yang terdapat di sana yang juga juga merupakan tempat persembunyian tentera jepun semasa perang.

Untuk masuk ke kawasan gua ini saya dikenakan bayaran 30 Baht sebagai salah satu yuran Taman

Negara di Thailand. Di bahagian dalam gua saya dapat melihat beberapa penemuan arkeologi seperti alatan yang digunakan oleh masyarakat purba dan juga lukisan di dinding gua. Malah kedatangan saya juga disambut gembira oleh sekumpulan monyet yang kelihatan teruja dan mungkin tertanya-tanya apa yang saya lakukan disini.

6. Sungai Krabi

Terokai hutan paya bakau memang satu aktiviti yang saya sangat cadangkan untuk anda cuba sendiri dan rasai suasana yang menakjubkan ketika menyelusuri secara perlahan seolah-olah rasa seperti masuk ke alam lain. Ianya satu pengalaman yang sangat unik dan berharga bagi saya.

Keadaan persekitaran juga amat senyap ditemani pemandangan akar-akar pokok bakau yang membuatkan saya berasa seperti di dalam movie seram pun ada. Sepanjang laluan ini jika anda bertuah dapat juga untuk melihat beberapa spesis haiwan yang tinggal di hutan ini seperti monyet, ketam, dan burung.

7. Ao Nang Beach

Hampir setiap destinasi di Thailand pasti mempunyai Walking Streets yang tersendiri dan begitu juga di pantai Ao Nang ini yang terletak betul-betul menghadap pantai. Dengan deretan kedai-kedai menjual cenderamata, restoran, cafe, dan juga pusat urut amat memeriahkan suasana terutamanya pada waktu malam dimana ramai pelancong yang lepak meluangkan masa bersama rakan-rakan.

Pantai Ao Nang merupakan pantai utama di Krabi yang mengambil masa lebih kurang 20 minit untuk saya sampai dengan menaiki songthaew dari pekan. Dan seperti biasa apabila berada di pantai waktu yang paling ditunggu-tunggu saya ialah untuk melihat sunset kerana bagi saya sunset di Thailand memang sukar untuk ditandingi di tempat-tempat lain tambahan pula latar belakangnya yang menakjubkan. Dan tiada apa yang lebih menenangkan hati dan minda saya dengan lepak menghabiskan waktu petang sambil mengenakan segelas air minuman di tepi pantai menyaksikan sunset.

8. Wat Kaew Korawaram Temple

Kuil ini terletak di atas bukit di tengah pekan Krabi yang hanya memerlukan saya berjalan kaki untuk kesini sambil-sambil melihat pekan Krabi. Pintu utama untuk naik ke kuil ini dihiasi dengan ukiran naga di sepanjang tangga menjadikannya salah lokasi unik untuk mengambil gambar.

Dan apa yang mencuri perhatian saya ialah lukisan-lukisan yang terdapat pada sekeliling dinding bahagian dalam kuil menceritakan beberapa kisah kehidupan Buddha yang tidak pernah saya lihat di kuil-kuil lain sebelum ini. Saya juga mendapati bahawa kuil ini antara yang pertama dibina di Krabi.

Bagi saya kunjungan ke Thailand pasti tidak lengkap jika anda tidak singgah ke Krabi dimana ianya satu kawasan perlancongan yang dibangunkan dengan baik dan pengangkutan awam seperti songthaew mudah untuk didapati yang menyenangkan saya untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain.