By Expedia Team, on May 15, 2020

Yum! 12 Jenis Kuih Raya Yang Mesti Ada Time Hari Raya Aidilfitri

Hari Raya Aidilfitri merupakan ganjaran yang paling dinanti-nantikan umat Islam selepas bertungkus-lumus melatih daya ketahanan spiritual sepanjang bulan Ramadhan.

Antara persiapan penting untuk meraikan Syawal – selain daripada tiket penerbangan – semestinya adalah kuih raya. Saban tahun, kita disajikan dengan pelbagai jenis kuih raya, atau biskut raya, dalam pelbagai bentuk dan variasi. Setiap satunya mempunyai kisah yang tersendiri. Ikuti kisah menarik di sebalik 12 jenis kuih raya yang wajib ada time Hari Raya Aidilfitri.

 

Kuih Tradisional

1) Tart Nanas

kuih raya tart nenasBudiman B Daud/Shutterstock.com

Tart Nanas adalah antara kuih raya paling terkenal dan tidak lapuk dek zaman. Walaupun setelah dua dekad memasuki abad ke-21, ianya masih lagi menjadi salah satu hidangan istimewa di Hari Raya Aidilfitri. Teksturnya yang gebu dan rapuh membuatkan ianya seolah-olah cair di dalam mulut. Ditambah pula dengan inti jem nanas, sudah tentu satu saja tidak mencukupi. Resepi tart nanas tertua dikatakan berasal dari England dan ditulis dalam buku berjudul The Country Housewife and Lady’s Director yang dikeluarkan pada tahun 1736.

2) Biskut Kacang Mazola

kuih raya biskut kacang mazolaRaihana Asral/Shutterstock.com

Selain tart nanas, sejenis lagi kuih yang mesti ada di hari raya ialah Biskut Kacang Mazola. Nama kuih yang turut digemari kanak-kanak ini diadaptasikan daripada minyak jagung Mazola yang merupakan salah satu bahan utama dalam resepinya. Gabungan bersama tepung gandum, kacang tanah yang dikisar dan gula menjadikan rasanya lemak manis dan sangat sedap! Semestinya ada akan menjamahnya berulangkali, apatah lagi jika ianya dihiasi dengan salutan telur kuning dan butiran badam.

3) Semperit Susu

kuih raya semperit susuI AM CONTRIBUTOR/Shutterstock.com

Kuih tradisional yang turut menjadi pelengkap Syawal seterusnya ialah Semperit Susu. Ada juga yang memanggil kuih ini dengan nama biskut dahlia kerana rupanya yang mirip dengan bunga dahlia yang sedang mekar. Walaupun resepinya hanya menggunakan empat bahan iaitu mentega, susu pekat manis, tepung jagung dan tepung kastard, namun rasanya cukup menggamit kenangan. Adunan ringkas ini menjadikan teksturnya gebu dan rapuh. Kebiasaannya, semperit susu adalah berwarna kuning. Namun, ramai juga yang bereksperimen dengan pelbagai warna lain untuk memberi kelainan di hari raya.

 

Kuih Moden

4) Almond London

kuih raya almond londonIsmiza binti Ishak/Shutterstock.com

Beralih pula kepada kuih raya moden yang kini semakin digemari tetamu yang berkunjung di hari raya. Almond London, atau nama asalnya Almond Land On, telah dikenali sejak lebih 20 tahun lalu dan merupakan kuih moden terawal yang dihidangkan sebagai juadah raya. Kuih bersalut coklat ini mempunyai inti biji badam yang dibakar rangup, seterusnya menjadikan bentuknya bujur seperti bola ragbi. Resepi Almond London selalunya menggunakan coklat susu, namun ianya boleh sahaja digantikan dengan coklat gelap atau coklat putih mengikut citarasa masing-masing.

5) Biskut Chocolate Chip

kuih raya biskut chocolate chipMartin Gardeazabal/Shutterstock.com

Seterusnya ialah Biskut Chocolate Chip yang diinspirasikan daripada biskut keluaran francais terkenal, Famous Amos. Biskut ini digemari oleh semua peringkat usia kerasa baunya yang sangat memikat, selain teksturnya yang rangup dengan kekacang dan rasanya yang manis dan penuh coklat. Ada ura-ura mengatakan resepi asal biskut ini adalah resepi sebenar biskut Famous Amos yang telah dibeli oleh seorang pelanggan dengan harga yang tinggi. Betul atau tidak, ramai yang telah mencubanya dan setuju dengan keenakan biskut chocolate chip ini.

6) Biskut Florentine

kuih raya biskut florentineZAINIE KHALILI/Shutterstock.com

Kuih raya berikutnya yang mesti ada time Hari Raya Aidilfitri ialah Biskut Florentine. Apa yang menarik tentang kuih moden ini ialah resepinya langsung tidak menggunakan cecair! Cuma bahan-bahan yang diperlukan agak mahal seperti tepung florentine, badam, kuaci hijau dan putih, biji labu dan bijan hitam. Namun, kerangupan dan kesedapan kuih raya mewah ini pasti membuatkan anda berkali-kali menjamahnya. Memandangkan resepinya tersangatlah ringkas, lebih berbaloi untuk anda buat sendiri menjelang hari raya nanti sebagai kudapan rangup kepada tetamu yang datang.

7) Biskut Oat

kuih raya biskut oatNataliia Doroshenko/Shutterstock.com

Biskut Oat juga mempunyai tekstur yang rangup sama seperti kuih moden lain. Ianya boleh dikategorikan sebagai kuih raya yang berkhasiat kerana penggunaan oat dan badam sebagai bahan asas serta rasanya yang kurang manis. Secara amnya, biskut oat dikatakan berevolusi daripada kuih tradisi barat iaitu Scottish oatcakes. Resepi terawalnya telah ditulis oleh Fannie Merritt Farmer pada tahun 1896. Adunannya kemudian telah diolah mengikut citarasa setempat. Biskut oat yang dulunya sinonim dengan campuran raspberi atau kismis, kini boleh juga ditambah dengan cip coklat.

 

Kuih Savoury

8) Kuih Kapit

kuih raya biskut kapitsu-lin/Flickr.com

Sekarang, mari kita lihat pula kepada kuih savoury dan yang pertamanya adalah Kuih Kapit. Resepinya dililhamkan daripada sejenis kuih barat iaitu Egg Roll Wafer yang sering menjadi sajian minum petang masyarakat Inggeris dan Belanda. Pada era penjajahan, ianya mula dibawa masuk ke negeri-negeri selat yang didominasi oleh masyarakat peranakan Baba Nyonya. Disebabkan itu, kuih kapit pada awalnya sering dihidangkan semasa perayaan Tahun Baru Cina. Kini, ianya turut menjadi santapan di Hari Raya Aidilfitri. Kerangupan kuih kapit membuatkan ianya enak dimakan begitu saja. Namun jika anda ingin menambah kelainan, bolehlah menyapu inti coklat nutella, kaya asli atau pandan, dan sebagainya sebelum kuihnya dilipat.

9) Kuih Siput

kuih raya kuih siputAdamlee01/Shutterstock.com

Kuih savoury berikutnya adalah Kuih Siput yang sudah tidak asing lagi buat masyarakat Melayu. Jelasnya, ia digelar sedemikian kerana rupanya yang seakan-akan cangkerang siput. Kuih siput yang sudah digoreng bersama daun kari berwarna kuning keemasan dan berbau wangi. Selain rangup dimakan, ianya juga mempunyai rasa pedas-pedas berempah yang unik. Tidak hairanlah jika kuih siput ini menjadi salah satu kudapan yang sangat dicari-cari oleh tetamu yang berkunjung di hari raya.

10) Rempeyek

kuih raya rempeyekThamKC/Shutterstock.com

Popular di kalangan masyarakat Jawa, nama Rempeyek mungkin merupakan gabungan daripada perkataan ‘Rempah’ yang diadun bersama ‘Pe’ iaitu kacang tanah dalam bahasa Jawa, dan melalui proses ‘Yek’ iaitu proses penggorengan dalam minyak panas sebanyak dua kali. Keenakan rempeyek dengan lapisan penuh kacang tanah tentunya tidak dapat disangkal lagi, apatah lagi jika ianya turut disertakan dengan kepingan ikan bilis. Kerangupan berganda ini pasti membuatkan tangan anda acap kali mengambilnya. Kini, terdapat juga rempeyek bersaiz mini yang lebih mudah untuk dimakan, selain ada juga resepi yang menggantikan kacang tanah dengan kacang dal atau kajang hijau.

11) Popia Gulung

kuih raya popia gulungCho Yut Shing/Flickr.com

Jika anda gemar mengunjungi rumah terbuka, pastinya anda sering kali perasan akan balang kuih raya yang berisi Popia Gulung. Rangup seperti kuih savoury yang lain, ianya diperbuat daripada kulit popia yang digulung bersama isi serunding ayam, daging atau ikan. Perkataan popia sebenarnya berasal daripada bahasa Cina iaitu ‘bobea’, lebih tepat lagi daripada dialek Teochew yang digunakan oleh masyarakat di Fujian. Perkataan ‘bobea’ hanya diterima pakai secara rasmi dan disuai padan dengan sistem ejaan bahasa Melayu pada tahun 1986. Selain digulung, kulit popia tersebut boleh juga disimpul, yang mana lebih dikenali sebagai popia simpul kasih.

12) Kuih Loyang

kuih raya loyang

TY Lim/Shutterstock.com

Kuih raya terakhir yang mesti ada ialah Kuih Loyang. Pada hakikatnya, ia adalah kuih tradisi dari negara India, khususnya di bahagian selatan iaitu Tamil Nadu dan Kerala. Masyarakat di sana memanggilnya sebagai ‘Achu Murukku’ atau ‘Achappam’. Di sini, kuih loyang turut dikenali dengan pelbagai nama seperti kuih goyang, kuih ros, kuih bunga durian dan kuih sarang tebuan. Apa-apa pun, teksturnya yang rangup dan rasanya yang sedikit manis pastinya dapat membangkitkan nostalgia silam sesiapa yang menjamahnya.

Begitulah serba sedikit tentang kisah di sebalik 12 jenis kuih raya yang mesti ada time Hari Raya Aidilfitri. Kini, sudah tentu anda teruja untuk bertemu lagi dengan Ramadhan dan meraikan Syawal bersama keluarga dan insan tercinta. Semoga Aidilfitri anda dihiasi kemeriahan dan dipenuhi dengan kebaikan. Jika anda ingin pulang berhari raya melalui jalan udara, silalah buat perancangan awal dan tempah segera penerbangan anda di laman Expedia.

Anda juga boleh meninjau perkhidmatan kereta sewa di sini bagi perjalanan sejurus selepas mendarat di lapangan terbang. Lebih mudah untuk berkunjung ke rumah sanak-saudara di kampung nanti!

[button icon=”entypo-flight” url=’https://www.expedia.com.my/’ fullwidth=’true’] Tempah flight ke seluruh Malaysia [/button]