By Expedia Team, on February 19, 2019

Padang: Kembara 3 Hari Di Nagari Minang

Pepatah ini benar-benar menusuk jiwa saya yang gemar mengembara ke mana sahaja dan memang sesuai lah apabila saya memilih Padang sebagai destinasi percutian pada kali ini. Ayuh, saya kongsikan tempat-tempat menarik di Padang!

“Alam takambang jadi guru.”

Pepatah yang menjadi salah satu prinsip hidup orang Minang terngiang-ngiang di dalam kepala otak saya ketika van kami menyusuri jalan berbengkang-bengkok ke ibu kota tradisional mereka yang dihimpit dua gunung berapi.

 

Hari 1 – Pagi

1)  Nikmati Kemegahan Rumah Gadang Di PDIKM

Setibanya di Bandara Internasional Minangkabau, kami terus dibawa ke tanah tinggi Minang. Destinasi pertama adalah Pusat Dokumentasi dan Informasi Kebudayaan Minangkabau (PDIKM) di Padang Panjang, lebih kurang 20 km sebelum Bukittinggi.

Di pusat inilah kami melihat Rumah Gadang iaitu rumah adat yang terkenal dengan bumbung tajam melentik seperti tanduk kerbau. Rumah Gadang di PDIKM dijadikan muzium yang menyimpan segala artifak dan peninggalan orang Minang sejak turun-temurun.

Saya cukup kagum dengan kemegahan Rumah Gadang kerana kediaman yang besar sebegini dibina tanpa sebatang paku dan tidak terkesan dengan gempa bumi!

Entah bagaimana, kami kemudian terjebak dalam menyewa pakaian tradisional Minang. Dah nampak macam pengantin, kami terus melakukan photoshoot berlatakar belakangkan Rumah Gadang. Takkan kami nak lepaskan peluang keemasan sebegini!

Hari 1 – Tengah Hari

2) Rasai Keenakan Gulai Kapau, Masakan Khas Bukittinggi

Usai matahari menegak, kami akhirnya tiba di Bukittinggi untuk menjamu masakan Padang. Sudah tentu restoran Nasi Padang ada di merata-rata tetapi kali ini kami ingin mencuba Gulai Kapau, satu gulai khas terkenal yang berasal dari pekan ini.

Gulai Kapau adalah gulai sayur yang terdiri daripada nangka, kacang panjang, kubis dan pucuk rebung dimasak dalam kuah yang pedas berlemak. Kami mencuba gulai ini di Gulai Kapau Uni Cah dan rasanya memang cukup unik.

Setelah dihidang hampir 20 jenis lauk dan sesenduk nasi panas berstim, kami mulakan pesta Nasi Padang!

Walaupun nampak pedas, rasa Gulai Kapau sebenarnya lebih lemak hasil daripada penggunaan santan. Sayur-sayuran dalam gulai ini cukup segar kerana walaupun direbus, rasa rangupnya tetap ada ketika digigit.

Hari 1 – Petang

3) Hirup Udara Berkabus Segar Di Danau Maninjau

Sesudah kenyang, kami dibawa ke Danau Maninjau, sebuah tasik besar yang terhasil daripada bekas kawah gunung berapi. Pemandangan danau ini sangat indah tampak seperti satu lukisan atau gambar di poskad!

Kami menikmati kecantikan Danau Maninjau di warung yang terletak di Kelok 37, salah satu selekoh tajam di jalan Kelok 44 yang menuju ke tasik. Saya rasa sangat tenang menghirup udara nyaman sambil melihat awan berkejar-kejaran menutup danau ini dari penglihatan.

Hari 2 – Pagi

4) Bersiar-Siar Di Jam Gadang & Membeli-Belah Di Pasar Atas

Selepas sarapan di hotel, kami terus mengorak langkah ke mercu tanda Bukittingi – Jam Gadang.

Jam Gadang adalah menara jam rekaan penjajah Belanda yang mengadunkan ciri-ciri Barat dengan bumbung ikonik Minangkabau. Menara ini terletak di dataran yang cukup sibuk dengan gerai penjaja, kereta kuda dan watak berkostum yang mesra swafoto.

Kami berjalan menyeberangi Jam Gadang ke Pasar Atas, sebuah bazar yang menjual pelbagai jenis fabrik dan songket seperti Pasar Payang di Kuala Terengganu.

Isteri saya terus rambang mata melihat ratusan kedai yang dipenuhi dengan baju kurung berwarni-warni bermotifkan flora. Kami berada di Pasar Atas selama tiga jam di mana sesi maraton membeli-belah berakhir dengan enam beg plastik yang sarat dengan kain dan baju!

Hari 2 – Tengah Hari

5) Jamah Gulai Itik Di Ngarai Sianok

Tepat jam 12 tengah hari kami sudah terpacak di Lesehan Lansano Jaya untuk menjamah satu lagi hidangan khas Bukittinggi. Restoran ini terletak di tepi sungai yang membelah gunung sehingga terbentuknya Ngarai Sianok, canyon berdinding batu yang sangat tinggi.

Irama sungai yang deras menemani kami sambil pelayan membawa keluar nasi dan lauk bertingkat-tingkat. Kami hanya memulakan makan tengah hari ketika “bintang” Lesehan Lansano Jaya terhidang atas meja – Gulai Itiak Lado Mudo.

Itik kampung digoreng terlebih dahulu kemudian dicampur dengan gulai lada hijau yang sangat pekat. Kombinasi daging itik yang lembut dan lada hijau yang pedas manis mencetuskan satu ledakan rasa yang sangat sedap sampai saki-baki gulai disapu habis!

Hari 2 – Petang

6) Terokai Gua Yang Menyeramkan Di Lobang Jepang

Kami menyusuri jalan naik untuk melihat pemandangan Bukittingi dari atas. Taman Panorama yang terletak di atas Ngarai Sianok menawarkan formasi batu yang panjang, dengan Gunung Singgalang yang berbentuk konikal sebagai backdropnya.

Setelah kagum dengan scene seakan Jurassic Park, kami menoleh ke belakang untuk menerokai Lobang Jepang. Lobang Jepang merupakan satu sistem terowong yang dibina semasa zaman pemerintahan Jepun ketika Perang Dunia Kedua.

Perjalanan ke bawah mengambil masa lima minit dan rasa seram mula menghantui diri kami sesampainya kami di dalam gua ini. Kami melihat dengan sendiri bilik, pejabat dan stor senjata yang dibina jauh dalam perut bumi demi menahan serangan bom musuh.

Kami hanya berada di Lobang Jepang selama 15 minit sahaja kerana bulu roma saya tiba-tiba meremang ketika melalui bilik tidur askar-askar Jepun!

Hari 3 – Pagi

7) Saksikan Batu Malin Kundang Di Pantai Air Manis

Keesokan harinya kami turun ke kota Padang dan terus dibawa ke Pantai Air Manis, sebuah pantai rekreasi yang lebih terkenal dengan lagenda Malin Kundang.

Dikenali sebagai Si Tanggang di Malaysia, Malin Kundang adalah seorang pemuda yang meninggalkan keluarga miskinnya dengan belayar seantero. Dia akhirnya menjadi satu pedagang kaya tetapi bersikap angkuh dan lupa daratan.

Apabila tiba di kampung halaman, dia tidak mahu mengaku ibunya dan akibat terkilan, ibunya menyumpahnya menjadi batu. Malin Kundang yang telah menjadi batu “dijumpai” di Pantai Air Manis dalam keadaan melutut memohon kemaafaan ibunya yang tidak berbalas.

Padang kaya dengan adat resam yang masih dipraktikkan sehingga kini dan kulinernya boleh tahan hebat juga! Saya tidak menyesal langsung apabila memilih Sumatera Barat tatkala rakan-rakan lain lebih gemar melancong ke destinasi lain yang lebih popular seperti Bali dan Yogyakarta.

Ini adalah kali pertama saya di Padang dan keinginan untuk kembali lagi dan lagi memastikan ini bukan kali terakhir saya ke Nagari Minang.

Hotel Terbaik Di Padang

Novotel Bukittinggi

Novotel Bukittingi adalah pilihan terbaik untuk penginapan di Bukittinggi. Hotel ini sangat dekat dengan Jam Gadang dan Pasar Atas. Novotel Bukittingi direka bentuk sebagai casa Sepanyol sehingga biliknya sangat selesa. Jangan lupa untuk meminta bilik yang menghadap Gunung Singgalang!

Ibis Padang Hotel

Ibis Padang Hotel di tengah-tengah kota Padang menampakkan imej yang trendi dan moden dengan penggunaan warna yang cerah serta dekorasi ala hipster. Bilik-bilik juga tidak ketinggalan dengan kemasan kayu yang diimbangi dengan tona warna pelangi. Singgah makan di restoran tingkat atas untuk menangkap pemandangan kota Padang.