By Expedia Team, on October 15, 2019

10 Tip Sangat Berguna Untuk Pengembara Muslim

Muslim travel tips

 

“Mengembaralah kamu di muka bumi ini… Al-‘Ankabuut, 29:20)”

Pada masa kini, semakin ramai orang Islam menyahut seruan ayat Al-Quran di atas untuk mengembara dunia dan melihat keindahan ciptaan Allah S.W.T. Setiap negara, benua dan pelosok telah dijelajahi malah banyak destinasi pelancongan yang menerima kunjungan pelancong Muslim juga menyediakan pelbagai kemudahan demi keselesaan mereka.

Bagi para pelancong yang bakal pertama kali menjejak langkah di negara orang dan juga kaki travel tegar, di sini saya kongsikan 10 tip yang sangat berguna untuk pengembara Muslim supaya perjalanan anda dipermudahkan.

1) Rancang Perjalanan Berdasarkan Waktu Solat Destinasi Anda

Sudah tentu anda ingin melawat destinasi idaman anda pada masa tertentu seperti musim bunga sakura di Tokyo atau Krismas di London. Negara yang mengalami empat musim mempunyai waktu solat yang berbeza – siang yang panjang pada musim panas manakala kegelapan menyelubungi hari ketika musim salji.

Oleh itu, rancanglah perjalanan dan aktiviti seharian mengikut masa terbit dan terbenam matahari pada ketika itu supaya trip menjadi lebih teratur dan tuntutan solat anda dapat dilaksanakan dengan tenang.

Kredit gambar: Filippo Diotalevi / CC by 2.0

2) Jadikan Sejadah Mini Sebagai Peneman Perjalanan Anda

Walaupun sekarang banyak negara majoriti bukan Islam menyediakan ruang solat kepada pelancong Muslim, ada kalanya kemudahan sebegini sukar dicapai seperti di kawasan perkampungan. Jika anda berhadapan dengan situasi tersebut, sejadah mini akan banyak memudahkan urusan sembahyang di mana jua anda berada..

Terdapat pelbagai jenis sejadah mini di pasaran untuk golongan traveller jadi dapatkan satu sejadah lembut serta cukup besar untuk kepala anda mencium tanah ketika sujud. Harus diingat sejadah ini jangan terlalu besar sekadar cukup dimuatkan dalam beg galas anda!

Kredit gambar: @faizalzainudin

3) Lengkapkan Telefon Pintar Dengan Aplikasi Halal

Maksimakan penggunaan telefon pintar anda dengan memuat turun apps yang membantu pelancong Muslim menavigasi tempat mereka dengan lancar. Aplikasi asas yang perlu ada dalam smartphone anda adalah Google Maps, waktu solat, arah kiblat serta lokasi musolla dan masjid terdekat.

Makanan halal sangat diutamakan oleh penganut Islam. Maka, banyak aplikasi telah dibangunkan bagi menyenarai dapur dan restoran yang menjamu makanan halal untuk dimuat turun seperti Halal Navi, Halal.TW, Halal Spot, HalalKorea for Muslim dan Zabihah.

4) Maklumkan Pengembaraan Anda Kepada Keluarga, Rakan-Rakan dan Kedutaan

Setelah anda membuat segala tempahan penerbangan dan hotel, jangan lupa maklumkan jadual perjalanan anda kepada keluarga atau kawan rapat. Perkara ini sangat penting sekiranya anda ingin melancong ke negara yang terkesan dengan bencana alam ataupun mempunyai kes diskriminasi terhadap kaum atau agama.

Pada masa sama, jangan lupa untuk daftar dengan kedutaan di negara destinasi anda! Pihak kedutaan akan menghubungi anda atau keluarga terdekat jika berlaku sesuatu insiden. Anda boleh melihat senarai kedutaan di laman web Kementerian Luar Negeri.

5) Pilih Tema Warna Pakaian dan Hijab Yang Serasi Untuk Muslimah

Tip ini khas untuk para Muslimah yang ingin berfesyen ketika travel! Ada kalanya anda ingin turn on the style tetapi tidak mahu membawa bagasi yang berat ke hulu dan ke hilir. Jadi, bagaimana anda ingin memuatkan begitu banyak pakaian dan aksesori ke dalam beg tarik yang kecil?

Daripada membawa segala kombinasi outfit yang ada dalam almari, pilih satu tema atau palette yang serasi dengan tempat dan musim yang dilawati. Kemudian, pilih dua atau tiga warna bagi setiap item supaya anda boleh mix and match sambil mengurangkan ruang pakaian dalam beg anda!

 @es_squared

6) Cari Hotel Yang Mempunyai Kemudahan Mesra Muslim

Semakin banyak hotel kini menyediakan kemudahan mesra Muslim bagi memenuhi keperluan pelancong Muslim terutamanya yang mengunjungi negara majoriti bukan Islam. Hotel ini bukan sahaja menyediakan kemudahan asas tetapi jual menitikberatkan soal makanan halal dan mahram.

Hotel mesra Muslim biasanya menyediakan bidet dan papan tanda kiblat bagi memudahkan anda berwuduk dan menunaikan solat. Terdapat juga hotel yang mempunyai dapur halal, tiada alkohol serta kolam renang khas dan spa untuk wanita sahaja.

Antara hotel yang mencapai kriteria ini adalah Ajwa Hotel Sultanahmet di Istanbul, City Suites Chenai di Kaohsiung dan PNB Perdana Hotel di Kuala Lumpur.

7) Lawat Masjid atau Pusat Komuniti Islam Setempat

Masjid bukan hanya untuk beribadat tetapi tempat untuk Muslim dari seantero untuk bertemu. Rapatkan silaturahim sesama ummah dengan melawat masjid atau pusat komuniti di destinasi anda. Seelok-eloknya datang ketika waktu solat supaya anda dapat berjemaah bersama-sama dengan penganut setempat.

@soumayameetsworld

Selepas itu, anda boleh berkenalan dengan orang lokal serta pengembara lain dan berkongsi pengalaman masing-masing. Anda juga mungkin boleh mendapat tip tempat makan halal yang sedap dan murah dan jika bernasib baik, diajak makan di rumah mereka!

  @acapjacky

8) Simpan Info Balai Polis, Hospital dan Pusat Maklumat Pelancong Terdekat

Satu lagi langkah keselamatan yang boleh anda ambil adalah mendapatkan info balai polis, hospital serta pusat maklumat pelancong yang terdekat. Maklumat yang perlu anda simpan adalah alamat, lokasi, nombor telefon dan e-mel. Perkara ini sangat penting sekiranya terdapat kanak-kanak atau warga emas dalam group anda.

 Wikimedia Commons

Anda boleh memohon daripada reception hotel yang lazimnya mempunyai maklumat ini dalam bentuk buku atau peta. Jika anda di negara yang tidak menggunakan tulisan rumi seperti Korea Selatan minta staf hotel untuk menulisnya dalam bahasa mereka sendiri.

9) Belajar Beberapa Patah Perkataan Asas Di Negara Destinasi

Sekiranya anda melancong ke negara yang rakyatnya tidak fasih berbahasa Inggeris, elok kalau anda belajar beberapa patah perkataan asas. Perkara seperti nombor, arah, khabar, makanan dan pengangkutan sedikit sebanyak membantu menyenangkan perjalanan anda terutamanya dalam hal mencari makanan halal.

 olilynch

Percayalah, jika anda mempelajari bahasa tempatan, pengembaraan anda akan lebih bermakna dan anda akan memberi imej yang baik kepada orang lokal melihat orang luar menghormati budaya mereka. Jangan lupa juga menghafal “terima kasih!”

10) Jagalah Adab dan Akhlak Seorang Muslim Di Tempat Orang

Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Sebagai seorang Muslim yang melancong ke negara orang, kita seharusnya menjaga adab dan keperibadian dengan menghormati undang-undang dan adat resam negara yang dilawati, selagi tidak bertentangan dengan syariat Islam.

  CC0 Public Domain

Pengembaraan anda bukan sahaja satu learning experience anda dalam mengenali dunia. Keberadaan anda di negara orang, terutamanya di negara bukan majoriti Muslim, membuka ruang kepada orang tempatan untuk mengenali dan memahami Islam melalui interaksi dengan anda.

Harap tip-tip ini dapat membantu anda sebagai seorang Muslim untuk menjelajahi dunia yang luas terbentang. Islam sentiasa mengamalkan wasatiyyah – kesederhaan – dalam apa jua tindakan jadi gunakan peluang dan teknologi yang ada untuk menjadi Muslim yang terbaik di mana anda jua berada.