By Expedia Team, on June 15, 2019

Destinasi Percutian Popular Untuk Keluarga

Mencari destinasi yang sesuai untuk membawa seisi keluarga bercuti ketika musim cuti sekolah yang akan datang? Tak perlu pening kepala kerana disini ingin saya kongsikan beberapa destinasi terbaik mengikut citarasa anda sendiri samada di bandar, pulau dan pantai, mahupun kawasan pergunungan!

 

Ho Chi Minh City, Vietnam

Ben Thanh Market memang terkenal dalam kalangan rakyat Malaysia sebagai destinasi syurga bagi kaki shopping. Manakan tidaknya kebanyakkan barang-barang dijual di Malaysia juga diimport dari Vietnam dan disini anda boleh beli dengan harga yang jauh lebih murah. Terdapat pelbagai jenis barangan yang dapat ditemui disini seperti beg tangan dan kasut replika berjenama, pakaian, juga perhiasan rumah. Namakan saja barangan apa yang anda cari kerana kebarangkalian besar mereka ada menjualnya.

Suasana yang tenang ketika berada di sungai Mekong menjadi destinasi yang sangat sesuai untuk lari dari kesibukan bandar Ho Chi Minh. Disini anda akan dibawa menaiki sampan melalui sebatang sungai kecil yang kiri dan kanan dipenuhi pokok nipah. Disepanjang menyelusuri sungai Mekong anda akan melewati perkampungan, melihat penduduk tempatan berehat di hammock dengan cara hidup yang sederhana. Anda juga akan berhenti di beberapa lokasi seperti tempat memproses coconut candy.

Singapore

Dengan jarak yang dekat dan mudah untuk dikunjungi terutamanya bagi anda yang mempunyai anak kecil, tiada sebab mengapa Singapore untuk tidak berada dalam senarai ini. Dan sudah tentu Universal Studios pastinya menjadi lokasi amat sesuai buat ibu bapa untuk meluangkan masa bersama anak-anak sambil membawa mereka menerokai dunia fantasi yang diidamkan selama ini.

Selain itu, anak-anak juga berpeluang untuk merasai suasana yang berbeza sambil belajar di Gardens by the Bay dengan menerokai pelbagai jenis tumbuhan yang jarang dapat dilihat di sekitar Asia dan juga suhu iklim hutan hujan tropika. Antara perkara menarik untuk dilakukan disini seperti melihat pokok olive yang berusia seribu tahun dan juga mengambil gambar berlatarbelakangkan air terjun yang menakjubkan.

Kota Kinabalu, Sabah

The Tip of Borneo ni merupakan puncak ataupun tanah paling atas di bahagian ‘tanduk’ peta kepulauan Borneo. Pemandangan disini juga agak unik kerana ianya betul-betul menghadap Laut Cina Selatan yang terbuka luas di depan dengan batu-batuan dimana anda boleh turun untuk mengambil gambar disana. Antara tarikan lain disekitar yang wajib dikunjungi ialah Pantai Tanjung Simpang Mengayau. Sangat sesuai untuk anda yang gemarkan suasana pantai dan kedamaian terutama sekali ketika sunset.

Kalau dah menjejakkan kaki ke Sabah, tak sahlah kalau tak ke Kundasang. Lokasi ini amat sesuai bagi anda yang inginkan suasana nyaman dalam suhu cuaca sejuk sambil dikelilingi pemandangan indah bukit-bukau. Dan dalam pada masa yang sama anda juga tidak seharusnya melepaskan peluang untuk merasai pengamalan baru dengan di rumah panjang Orang Asli yang dikelilingi ladang teh di Ranau. Dan bukan itu sahaja, jika bernasib baik anda juga bakal dapat melihat kemegahan Gunung Kinabalu.

Krabi, Thailand

Krabi, satu destinasi yang kerap dikunjungi oleh para-pelancong dari serata pelusuk dunia terutamanya bagi mereka yang mengimpikan untuk berehat di bawah sinaran matahari sambil menikmati keindahan pantai tropikal diantara terbaik dunia. Terdapat pelbagai aktiviti menarik yang ditawarkan seperti snorkelling di Monkey island mahupun melihat pemandangan sunset yang menakjubkan di Railay beach dengan dikelilingi bukit batu kapur.

Manakala bagi anda yang sukakan aktiviti island-hopping, terdapat beberapa pulau popular berada di sekitar Krabi yang mudah dijangkaui dengan menaiki ferry seperti pulau Koh Phi Phi, Koh Lanta, dan Koh Phangan. Masing-masing mempunyai keindahan alam semulajadi tersendiri untuk diterokai.

Bandung, Indonesia 

Kawah Putih ini merupakan sebuah danau yang terbentuk hasil daripada letusan Gunung Patuha satu ketika dahulu. Selain betuk muka buminya yang unik dan amat sesuai sebagai lokasi untuk bergambar, warna air danau yang berwarna putih kehijauan dan kadang-kala diselubungi kabus amat mencuri perhatian sekali seolah-olah menggambarkan suasana misteri. Dan sepanjang berada disini anda digalakkan memakai topeng muka disebabkan bau sulfur yang kuat.

Manakala bagi anda yang belum pernah merasai pengalaman “glamping” terdapat satu lokasi sesuai di Situ Patengan dimana ianya terletak betul-betul di pinggir danau. Selain dikelilingi ladang teh dan pokok-pokok menghijau, suhu sekitar juga agak sejuk mencecah 18 hingga 22 darjah celsius. Antara aktiviti lain yang boleh dilakukan disini adalah memancing, mengayuh perahu disekeliling danau, dan juga melawat beberapa tarikan seperti Batu Cinta dan Pulau Asmara.

Tokyo, Jepun

Sudah pernah ke Disneyland? Apa kata anda ke DisneySea pula. Apa yang membuatkan DisneySea berbeza daripada Disneyland biasa adalah ianya terdiri daripada tujuh jenis taman bertemakan pelabuhan berbeza seperti Mermaid Lagoon, Mysterious Island, dan Arabian Coast. Terdapat beberapa pelabuhan diilhamkan daripada beberapa lokasi bersejarah di serata dunia dan ada juga daripada dunia fantasi.

Percutian anda ke Tokyo tidak akan lengkap tanpa berkunjung ke Pasar Toyosu. Lokasi ini menjadi tarikan popular pelancong kerana pada setiap pagi anda dapat melihat lelongan ikan tuna gergasi yang ada diantaranya terjual sehingga puluhan ribu ringgit. Selain itu, bagi anda penggemar sushi, disini terdapat pelbagai jenis sushi untuk dicuba.

Medan, Indonesia

Satu kesempatan yang tidak harus anda lepaskan ketika berada di Medan ialah melawat danau bekas gunung berapi terbesar di dunia iaitu Danau Toba. Apa yang menarik disini adalah pemandangan danaunya yang berlatarbelakangkan bukit-bukau dilitupi awan memang sukar untuk digambarkan keindahan ciptaan tuhan ini. Antara aktiviti menarik untuk dilakukan disini adalah anda boleh melawat perkampungan purba kaum Batak dan melihat rumah tradisional tempat penginapan si raja satu ketika dahulu dan juga belajar serba sedikit tentang sejarah kaum Batak serta melihat persembahan tarian tradisional mereka “Sigale-gale” di muzium Batak.

Medan juga terkenal sebagai destinasi syurga makanan untuk mencari segala macam jenis hidangan yang unik dan juga sedap. Dengan bermacam jenis pilihan yang ditawarkan hasil gabungan pengaruh dari kaum dan etnik yang berbeza seperti Melayu, Cina, Arab, dan juga Batak pastinya memberikan satu citarasa unik dan tersendiri. Antara hidangan wajib anda cuba adalah Mi Soto Kasawan yang dicampur dengan udang serta Bihun Bebek kumango yang diperap berjam lama dihidangkan bersama bawang goreng.

Jadi apa yang anda tunggu lagi, ayuh mula merancang percutian idaman untuk musim cuti yang akan datang bersama ahli keluarga mengikut citarasa tersendiri samada mahu berehat di tepi pantai, menghirup udara segar di kawasan pergunungan, ataupun shopping gila sakan.