By Expedia Team, on June 4, 2019

Melancong di Paris, dari London

Paris lebih dikenali sebagai “City of Love” disebabkan oleh pemandangan, bahasa dan bandar yang sangat popular untuk destinasi honeymoon. Menara Eiffel yang boleh dilihat di bandar Paris dianggap sebagai simbol cinta untuk pelawat-pelawat yang berkunjung ke sini. Namun begitu, Paris juga merupakan tempat yang sering dikunjungi oleh backpackers, pelawat berkeluarga dan juga berkumpulan.

Setelah menetap di London selama 3 hari, kami memutuskan untuk melawat ke bandar seterusnya, iaitu Paris. Selain daripada pengangkutan bas dan kapal terbang, perjalanan ke bandar ini boleh diteruskan dengan menaiki keretapi Eurostar. Kami memilih pengangkutan ini untuk menikmati pemandangan yang saling bertukar dari bandar London ke Paris.

Hari Pertama: Dari London Ke Paris

8:00 pagi

Kami menaiki keretapi Eurostar dari stesen St Pancras International dari bandar London untuk harga Euro 77.50 seorang. Dengan beg luggage yang penuh dengan cenderahati serta barang keperluan, kami membawanya ke tempat duduk di Coach 14. Satu tip yang boleh dikongsikan sini adalah untuk membeli makanan pagi dari kedai-kedai sandwich atau kedai convenience yang didapati di salam stesen keretapi untuk mengalas perut semasa perjalanan ke Paris.

11:30 pagi

Tiba di stesen Gare du Nord, Paris dan terus menaiki teksi ke Hotel Boisierre untuk Euro 30. Hotel ini terletak lebih kurang 15-20 minit dari bandar Paris dan boleh juga dikunjungi dengan bas atau keretapi bawah tanah (Metro). Memandangkan kami tidak pasti dengan lokasi sebenar dan jarak antara stesen dengan hotel, kami menaiki teksi sahaja untuk memudahkan perjalanan pada hari pertama.

Hotel Boisierre

Hotel Boisierre ini terletak di Levallois-Perret dan berdekatan 5 minit sahaja dengan stesen keretapi Louis-Michel yang membolehkan kami ke bandar Paris dalam beberapa minit sahaja. Kami memilih hotel ini kerana harganya berpatutan berbanding dengan yang terletak betul-betul di tengah-tengah bandar Paris (dengan harga yang lebih mahal). Semasa menetap di sini, kami sempat berjumpa dengan pelawat-pelawat dari Malaysia yang juga memilih hotel ini kerana harganya yang berpatutan. Dari segi kemudahan, hotel Boisierre menyediakan sarapan pagi yang simple seperti cereal dan toast untuk pengunjung.

Tip: Hotel ini mempunyai lif yang kecil di tingkat satu, jadi untuk mereka yang membawa beg yang banyak, anda harus menarik beg sendiri ke bilik.

Restoran di Levallois-Perret

Terdapat banyak restoran di kawasan Levallois-Perret dan salah satu tempat makan halal yang kami cuba adalah di Restoran Bosphore (Turkish Restaurant). Restoran ini berdekatan dengan stesen keretapi Louis-Michel dan menyediakan makanan dalam portion yang besar untuk pelanggan. Harganya juga berbaloi dengan hidangan yang disediakan.

Alamat: 28 Rue Louise Michel, 92300 Levallois-Perret, France

Stesen: Louis-Michel

Waktu Pembukaan: 11:00 pagi – 11:30malam

No Talipon: +33 9 80 43 92 30

 

1:00 tengahari

Setelah selesai check-in di hotel dan berehat seketika, kami mula meneroka bandar Paris dengan menaiki ‘L’Open Tour Paris Hop-On and Hop-Off Bus’. Kami memilih pas 2-hari menaiki bas dan bot untuk melawat sekitar bandar. L’Open Tour ini mempunyai 4 pilihan laluan dan akan berhenti di mana-mana 50 perhentian bas semasa perjalanan. Di atas bas, penumpang-penumpang seperti kami boleh mendengar pra-rakaman informasi dalam bahasa Inggeris atau 10 bahasa lain.

 

 

Berikut adalah tempat-tempat menarik yang boleh dilawati di Paris dengan L’Open Tour Paris ini:

1. Menara Eiffel

Anda belum ke Paris jika tidak melawat Menara Eiffel secara dekat. Menara ini merupkan simbol bandaraya gemerlah ini dan ianya boleh dilihat dari pelbagai bahagian bandar Paris. Kami berkesempatan untuk melihatnya dari bawah dan juga di tingkat dua menara tersebut. Di sini juga, ramai penjual-penjual cenderahati akan mendekati anda untuk mejual keychain, magnet, poskad untuk dibawa pulang. Ramai orang local dan juga expat bersama keluarga mereka boleh dilihat menghabiskan masa bermain bubble dan juga berkelah.

Alamat: Champ de Mars, 5 Avenue Anatole France, 75007 Paris, France

Hentian L’Open Tour: Menara Eiffel

Waktu Pembukaan: Isnin-Ahad (9:30 pagi – 11:45 malam)

2. Menaiki Batobus ke Notre Dame Cathedral

Dari Menara Eiffel, kami menaiki Batobus yang melalui River Seine di Paris. Batobus ini adalah sebahagian dari pakej L’Open Tour Paris Hop On-Hop Off Bus yang akan melalui 8 hentian di sepanjang sungai tersebut. Kami hanya perlu berjalan kaki selama 5 minit sebelum tiba di jeti Batobas di hadapan menara Eiffel. Kami dapat melihat pemandangan di bandar Paris dengan jelas melalui bumbung dan tingkap telus yang mengelilingi bot ini. Kami melihat Musee d’ Orsay, St Germaine des pres sebelum berhenti di Notre-Dame Cathedral.

Gereja ini merupakan salah satu medieval Catholic cathedral yang boleh dijumpai di Paris, France. Ia dilihat sebagai contoh terbaik senibina French Gothic di bandar ini. Notre-Dame mengambil masa 200 tahun untuk disiap bina.

Alamat: 6 Parvis Notre-Dame – Pl. Jean-Paul II, 75004 Paris, France

Stesen Batobus: Notre-Dame

Waktu Pembukaan: Isnin-Jumaat (8:00 pagi – 6:45 petang); Sabu-Ahad (8:00 pagi – 7:45 malam)

3. Muzium Louvre

Salah satu aktiviti yang kami gemari apabila melancong ke luar negara, adalah untuk melawat muzium seni tempatan. Muzium Louvre atau The Louvre merupakan muzium seni terbesar di dunia dan ianya sebuah monumen bersejarah di Paris. The Louvre terletak di sebelah kanan Bank of Seine, dan ia merupakan salah satu hentian popular untuk L’Open Tour Paris. Kami berhenti seketika di sini untuk mengambil gambar di luaran The Louvre.

Untuk mereka yang gemari lukisan-lukisan seni dunia, bolehlah mendapatkan tiket untuk masuk dan menghargai seni yang dipamerkan. Kami ke sini beberapa tahun lepas untuk melihat lukisan Mona Lisa oleh Leonardo di Vincci dan ia merupakan salah satu memori di Paris yang tidak dapat dilupakan.

Alamat: Rue de Rivoli, 75001 Paris, France

Stesen Batobus: Muzium Louvre

Waktu Pembukaan: Isnin-Ahad (9:00 pagi – 6:00 petang)

Hari Kedua: Paris

Memandangkan kami tiba di Paris pada waktu tengahari untuk hari pertama, kami mahu menghabiskan masa yang lama untuk teroka bandar ini pada hari kedua. Di sini saya kongsikan tempat-tempat yang dilawati di sekitar Paris:

1. Pasar Bastille

Salah seorang rakan kami memberi cadangan untuk melawat ke Pasar Bastille. Kami memang gemar melihat pasar-pasar tempatan di mana-mana negara, dan mengambil kesempatan di Paris untuk pergi ke Pasar Bastille ini. Ianya merupakan salah satu pasar terbesar tempatan di bandaray Paris dan buka setiap hari dari 9 pagi hingga ke 2 pagi hari berikutnya. Apa yang menarik mengenai pasar ini ialah ia mempunyai gerai-gerai yang menjual sayur-sayuran, daging, bunga, dan juga makanan tempatan.

Alamat: 13 Boulevard Beaumarchais, 75004 Paris, France

Stesen Metro: Bastille

Waktu Pembukaan: Isnin-Ahad (9:00 pagi – 2:00 pagi)

2. Kunci di jambatan Pont des Arts

Kami terlihat ramai orang berjalan kaki menyeberangi sebuah jambatan berhampiran dengan Muzium Louvre dan curiga tentang tempat menarik ini. Rupanya, jambatan Pont des Arts atau Passerelle des Arts adalah jambatan pejalan kaki di Paris yang melintasi Sungai Seine. Ia menghubungkan Institut de France dengan dataran pusat Palais du Louvre. Di sini kami mendapati banyak kunci-kunci yang dipasangkan di jambatan Pont des Arts sebagai simbol percintaan mereka yang melawat Paris. Walaupun kunci-kunci tidak dibenarkan lagi untuk dipasang di jambatan Pont des Arts, ramai pelawat masih melintasi kawasan ini untuk menikmati pemandangan yang Sungai Seine yang indah.

Alamat: Pont des Arts, 75006 Paris, France

Hentian L’Open Tour: Pont des arts

3. Membeli-belah di Champs Elysses

Satu lagi tempat menarik yang boleh dikunjungi di Paris adalah Avenue Champs Elysses yang menyambungkan Louvre, Place Concord dan Arc de Triomphe dalam satu garisan lurus. Kawasan ini mempunyai tempat membeli-belah untuk jenama antarabangsa dan juga tempatan. Di sini juga ramai pelawat-pelawat dan penduduk Paris akan bertemu di restoran-restoran dan juga kafe.

4. Arc de Triomphe

Menara Arc de Triomphe boleh dilihat dari avenue Champs-Elysees dan ianya merupakan salah satu monumen yang terkenal di Paris. Ia terletak di tengah-tengah Place Charles de Gaulle yang menyambungkan 12 jalan raya di sekitar Paris. Di bahagian bawah monumen ini terletak makam tentera dan di bahagian mempunyai teres dan muzium kecil. Pelawat dibenarkan menaiki tangga ke tingkat atas untuk menikmati pemandangan jalan raya dan pusat bandar Paris.

Begitulah perjalanan kami di Paris selama 2 hari dan satu malam dari bandar London. Jika masa mengizinkan, kami mungkin dapat melawati lebih banyak lagi tempat-tempat menarik yang sedia ada di Paris. Namun begitu, ianya merupakan sebuah bandar yang harus dilawati jika melancong ke negara Perancis.