By Expedia Team, on May 22, 2019

Hotel Halal di London

Kota London merupakan salah satu bandar utama dunia dengan penduduk yang terdiri dari pelbagai bangsa berbeza budaya. Bandar ini juga yang menyaksikan hampir 20 juta pelawat setiap tahun dari seluruh dunia. Kepelbagaian ini mendorong sebahagian hotel untuk menyediakan kemudahan bagi memberi keselesaan kepada para pelancong Muslim. Di sini, kami telah senaraikan 10 hotel halal di London yang bersesuaian dengan pelbagai bajet untuk memudahkan anda merancang percutian anda ke London!

Hotel Halal di London untuk Percutian Mewah (5 Bintang)

1. Landmark Hotel

Detik pertama anda melangkah ke ruang lobi Landmark Hotel, antara ciri hiasan dalaman yang akan menarik perhatian anda ialah siling utama kaca dan pohon-pohon palma yang menghiasi kawasan hotel. Suasana mewah yang akan membuatkan anda berasa seolah-olah di istana! Terletak di kawasan utama kota London, anda dapat menikmati sambungan mudah ke seluruh pelosok London dengan stesen metro Marylebone yang hanya berjarak 50 m dari hotel.

Biliknya sangat luas. Bar mini di dalam bilik pula tidak menyediakan minuman beralkohol, dan anda juga boleh meminta bilik air yang mempunyai bidet untuk memudahkan proses berwuduk.

Jika anda ingin mendalami budaya orang Inggeris yang mementingkan acara minum teh petang, silalah ke Winter Garden Restaurant untuk merasai pengalaman unik tersebut. Daging yang dihidangkan di restoran ini adalah halal, tetapi pastikan untuk mengesahkan status tersebut ketika di hotel. Menu Timur Tengah yang istimewa juga disediakan ketika musim-musim puncak.

(Halal Girl About Town)

2. Corinthia Hotel

Antara hotel yang paling gah di London, Corinthia Hotel menawarkan lokasi terbaik untuk para pengunjungnya.

Hanya sepelaung dari Trafalgar Square dan 10 Downing Street, banyak tarikan pelancong dan deretan kedai yang dapat dituju dengan hanya berjalan kaki. Selepas seharian bersiar-siar dan membeli-belah, anda boleh memanjakan diri anda di ESPA Life, spa terbesar di London yang telah memenangi pelbagai anugerah.

Sekiranya anda seorang pengembara wanita beragama Islam, anda dapat menikmati rawatan spa yang dikendalikan sepenuhnya oleh staf wanita. Pengalaman teh petang Inggeris yang halal juga boleh didapati dengan tempahan awal, sekurang-kurangnya 2 hari.

3. Bulgari Hotel

Jika ‘terapi membeli-belah’ adalah matlamat anda ketika melawat London, Hotel Bulgari memberikan kemudahan dan lokasi yang terbaik. Terletak di kawasan Knightsbridge, yang juga dikenali sebagai syurga untuk shopaholics, hotel ini hanyalah 300 m sahaja dari Harrods dan pusat membeli-belah yang lain. Anda boleh ulang alik ke hotel bagi meletakkan hasil beli-belah anda sebelum menyambung sesi seterusnya!

Spa di hotel ini turut menawarkan rawatan berasingan untuk lelaki dan wanita. Dengan permintaan awal, makanan halal juga dapat disediakan khas untuk anda.

 

Hotel Halal di London untuk Percutian Yang Menyenangkan

(4 Bintang)

4. The Westbridge Hotel

Jika anda memilih untuk menginap di Westbridge Hotel, anda tidak perlu bimbang tentang membuat tempahan awal untuk hidangan halal. Restoran di dalam hotel ini adalah halal sepenuhnya. Anda boleh menikmati bufet sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam ala Inggeris tanpa perlu risau tentang apa yang boleh atau tidak boleh dimakan.

Jika itu tidak mencukupi, terdapat juga beberapa restoran halal yang disyorkan seperti Tiffin Grill, Grill Stratford, dan Ayam Perfect Fried Ahmed terletak berdekatan.

Jangan risau – gim di hotel ini dibuka 24 jam supaya anda boleh bekerja keras membakar kalori berlebihan yang diambil!

5. The Bermondsey Square Hotel

Di The Bermondsey Square Hotel, anda dapat menikmati pemandangan kota London yang indah jika anda memilih untuk tinggal di salah satu bilik loft yang ditawarkan.

Makanan di hotel ini adalah halal dan alkohol tidak disajikan di dalam premis. Terletak di kawasan bandar yang tidak begitu sibuk, anda dapat menikmati suasana tenang berbanding dengan tinggal di tengah-tengah kota London.

Luangkan masa untuk bersiar-siar di sekitar kawasan hotel dan anda pasti akan berjumpa beberapa kafe menarik dan pasar antik di mana anda mungkin dapat membawa pulang cenderahati unik untuk memperingati percutian London anda.

6. The Marylebone Hotel

The Marylebone Hotel terletak di salah satu kawasan paling eksklusif di London – Oxford Street, Bond Street, dan Hyde Park dapat dituju dengan hanya perjalanan kaki yang singkat.

Beberapa item dalam menu di restoran adalah halal dan kakitangan hotel bersedia untuk memenuhi permintaan khas anda jika dimaklumkan lebih awal.   Terdapat banyak restoran dan kafe halal di sekitar 500 m radius dari hotel.

 

7. La Suite West Hyde Park

Hotel butik La Suite West Hyde Park terletak di pinggir Hyde Park dan juga berdekatan dengan dua stesen metro iaitu, Bayswater dan Queensway. Lokasi strategik ini menawarkan ketenangan dan suasana nyaman, di samping memudahkan anda untuk bergerak.

Hotel ini tidak menyediakan minuman alkohol dan makanan halal boleh dipesan khas dari restoran. Terdapat juga banyak restoran dan kafe halal di sekitar hotel.

Hotel Halal di London untuk Percutian Bajet

(2-3 Bintang)

8. Kensington Court Hotel

Jika anda hanya inginkan tempat untuk berehat dengan selesa pada waktu malam, dan kemudahan asas yang penting, anda mungkin ingin mempertimbangkan Kensington Court Hotel. Sebuah hotel yang menawarkan bilik yang luas dan bersih, ianya terletak berhampiran dengan stesen keretapi Earl’s Court.

Yang paling penting, semua makanan yang disajikan dalam premis adalah halal dan tidak ada minuman beralkohol disediakan.

9. Holiday Villa Hotel

Jika makanan halal selera tempatan adalah antara yang terpenting dalam senarai prioriti anda dalam memilih hotel, maka Holiday Villa Hotel seharusnya berada di carta yang tertinggi. Hotel ini merupakan antara salah satu hotel di London yang mempunyai Gold Salam Standard, satu sistem penarafan hotel halal.

Bilik di hotel ini mungkin lebih kecil daripada hotel lain tetapi cukup untuk memberi keselesaan. Arah Qiblat juga ditandakan di setiap bilik dan anda juga boleh meminta tikar sembahyang untuk disediakan di bilik anda.

Lagenda Malaysian Restaurant di dalam hotel ini menyediakan menu makanan halal Malaysia dan Cina setiap hari yang menyelerakan!

10. The Bridge Hotel

The Bridge Hotel terletak di tengah-tengah kota London, dalam jarak berjalan kaki sahaja dari London Eye. Walaupun sarapan tidak disediakan, buah-buahan segar dan air botol disediakan setiap hari di dalam bilik anda.

Terdapat juga sebuah restoran Parsi di dalam hotel yang menyajikan pelbagai makanan halal.